Kenalkah anda pada si Kaloi ?

Ikan Kaloi merupakan ikan air tawar. Nama sainsnya adalah Osphronemus goramy.
Ikan Kaloi berbadan leper. Ikan Kaloi mendiami sungai berair tenang, dan tasik. Makanan utamanya adalah tumbuh-tumbuhan, lumut dan juga serangga kecil seperti cengkerik, dan cacing
Ikan Kaloi merupakan haiwan Omnivor. Ikan ini akan makan apa sahaja dari jenis haiwan mahupun tumbuhan. Tetapi, semakin Kaloi membesar, pemakanan Kaloi lebih menjurus kepada tumbuh-tumbuhan. Antara tumbuhan yang menjadi kegemaran Kaloi ialah daun keladi dan kangkung.


Ciri-ciri ikan Kaloi:

Rata-rata spesis ikan Kaloi hidup di dalam persekitaran yang hampir sama, malahan pemakanan antara semua Kaloi juga sama. Kaloi memerlukan air yang bersih dan jernih. Tumbesarannya yang lambat dan penjagaannya cerewet menyebabkan kurangnya penternak yang menternak ikan jenis ini. Atas faktor tersebut, ikan Kaloi selalunya dijual sebagai ikan hiasan berbanding ikan makanan menyebabkan harga ikan ini melambung.

• Saiz maksima bagi ikan Kaloi ialah 50 ke 60cm dengan pengecualian Kaloi Hitam (Giant Gourami) yang boleh membesar sehingga 70cm.
• Tumbesaran yang lambat, pada tahun pertama ikan Kaloi boleh membesar kepada 15cm, tahun kedua 25cm, dan tahun ketiga 30cm.
• Sesuai hidup di PH air 6.5 ke 7.
• Ikan jenis Omnivor namun cenderung kepada pemakanan jenis tumbuh-tumbuhan.
• Saiz tuaian untuk makanan biasanya pada saiz 25cm dengan purata berat 4 ke 5kg.
• Boleh mencapai berat maksima sehingga 8kg.

JENIS-JENIS IKAN KALOI
1. Ikan Kaloi Sabah.


Spesis ini antara yang paling mahal sekali harga pasarannya daripada Kaloi jenis lain kerana warnanya yang cantik dan sukar didapati, ikan ini berasal dari sebuah daerah yang terkenal dengan sungainya di Sabah, sungai Kinabatangan. Jenis Kaloi ini agak cerewet penjagaannya dan memerlukan penjagaan yang rapi.
Fizikal Kaloi Sabah
Berwarna merah pada ekor, sirip renang atas dan sirip renang bawahnya.


2. Kaloi Hitam (Giant Gourami)


Ikan Kaloi Hitam ini merupakan gergasi dalam keluarga jenis Gourami. Ikan ini merupakan ikan yang paling umum dan mudah di dapati dari tasik, bekas lombong dan sungai-sungai di seluruh Malaysia. Tidak seperti sepupunya, ikan ini mudah dijaga dan tidak cerewet.
Fizikal Kaloi Hitam:

• Berwarna hitam dan mempunyai corak berbelang pada badan.

3. Kaloi Merah (Giant Red Eye Gourami)



Ikan Kaloi Merah datang dari jenis yang sama seperti Kaloi Hitam. Warna merah terhasil akibat daripada kecacatan pigmen hitam pada ikan itu sendiri lantas menghasilkan Kaloi albino yang berwarna merah. Penternak lazimnya mengahwinkan beberapa Kaloi albino untuk melahirkan benih yang majoritinya berwarna merah. Kadangkala Kaloi ini juga disebut sebagai Kaloi Thailand ataupun Kaloi India.
Fizikal Kaloi Merah:

• Berwarna merah pudar.
• Mempunyai muncung yang sedikit tirus berbanding Kaloi lain.

.Tahukah anda bagaimana hendak mengenal di antara kaloi jantan dengan betina ?

Ciri-ciri Kaloi Jantan:


• Dagu yang besar dan bulat.
• Mempunyai benjolan di kepala.


Manakala ciri-ciri Kaloi Betina:


• Tidak mempunyai dagu yang besar dan bulat.
• Kepala yang licin.


Bagaimanakah untuk membiak ikan Kaloi ?

Satu kolam pembiakan khas perlu disediakan untuk induk bagi proses mengawan. Nisbah yang sesuai bagi suatu sesi pembiakan ialah 1 jantan bagi 4 betina.

Kolam pembiakan perlulah mempunyai daun-daun ataupun rumput-rumput bagi memudahkan Kaloi jantan membina sarangnya.

Aktiviti pembiakan bermula apabila Kaloi jantan membina sarang daripada daun-daun dan rumput-rumput air yang berada di dalam kolam. Setelah sisa rumput dan daun-daun dikumpul, Kaloi jantan akan membuat sarang buih di kawasan tersebut, sesetengah penternak menggambarkan sarang Kaloi mirip seperti sarang burung yang tenggelam di bawah air.

Setelah sarang siap dibina, Kaloi jantan akan memikat Kaloi betina untuk pergi ke sarang tadi. Kaloi betina betina kemudiannya akan melepaskan telur-telurnya ke dalam sarang tersebut kemudian disenyawakan oleh sperma jantan. Aktiviti mengawan Kaloi ini akan berlangsung selama 2 ke 3 hari.

Setelah aktiviti mengawan berakhir, Kaloi jantan akan beredar dari kawasan tersebut dan meneruskan aktiviti pembiakan dengan Kaloi betina lain. Kaloi betina akan terus menjaga sarang tersebut dengan mengipas telur-telur tadi bagi memastikan bekalan oksigen cukup. Selepas 30 ke 36 jam, telur akan menetas.

Anak-anak ikan yang menetas tidak akan makan apa-apa selama seminggu kerana pada waktu itu, kuning telur yang masih terlekat pada badan anak ikan akan menjadi sumber tenaga kepadanya. Setelah seminggu, anak-anak ikan sudah cukup kuat mempertahankan dirinya dan akan mula memakan plankton (air hijau) yang berada di dalam kolam.

Comments

Popular posts from this blog

JENIS-JENIS UDANG

Cara memilih Joran dengan tepat